CORETAN HATI



Manusia Boleh Berubah !!!


"  Basug!... Kam poingkuro mangajar dika ti....." marah cikgu S kepada K.
(S dan K, bukanlah nama sebenar).

       Ungkapan  sebegini sudah biasa saya dengar. Boleh dikatakan setiap hari dalam seminggu persekolahan. Berani saya katakan saya sentiasa dengar K dimarahi dengan kata-kata  itu. Sebabnya saya dan K duduk bersebelahan semasa belajar di sekolah rendah.Bukan setakat cikgu S yang melabel K  ' basug'. Hampir semua guru mengatakan K pelajar yang 'basug'.

       Kadang-kadang saya juga mengata  K itu  'basug'. Ayat mudah seperti..." Saya suka main bola.".... pun K tidak boleh baca.

      Padahal kami sudah darjah 6 masa itu .  Sungguhpun begitu saya dan K adalah kawan baik. Saya suka berkawan dengan dia walaupun orang kata dia 'basug'. K seorang  kawan yang rajin dan baik hati. Selalunya, jika keadaan mengizinkan, selesai sahaja sesi persekolahan, saya akan 'gansau' ke rumahnya. Walaupun jarak rumah saya dengan K bukanlah dekat. 

       K merupakan anak sulung dalam keluarganya. Jika  diimbas kembali,  K  bukanlah hasil produk yang tidak dikasihi. Bukan juga  lahir dari keluarga yang porak peranda ataupun miskin sebagai alasan 'kebasugan'nya. Rasanya tiada kekurangan dari segi perhatian. Makanan juga mencukupi...sebabnya kalau saya ke rumahnya, saya selalu dapat makan 'free'.

       K juga  berbadan tinggi dan cukup sihat. Kalau tidak silap dia merupakan murid perempuan paling tinggi dalam kelas kami. Tapi bila masuk bab membaca....aduhai....hanya mereka yang pernah mengajar K yang tahu. Entah apa masalah K ini.  Dia  memang sungguh menggeramkan para guru. Sampai sekarang saya tidak boleh lupa saat-saat cikgu S memarahi K.

      " Ginayo noh tinan.....inggaa tutok! "...kata cikgu S kepada K.


Mendengarkan kata-kata yang sama diulang-ulang, saya sempat memikirkan bahawa K akan selalu menghadapi kesukaran belajar. Menurut saya yang baru mahu masuk umur 12 tahun, K mungkin akan gagal dalam hidup. 

      '' Miagal dih todu-odu ko noh om ingaa toilaan nu...."  sambung cikgu S kepada K lagi.


 Ini kerana dia kelihatan cukup dewasa  berbanding murid perempuan lain di dalam kelas. Itulah antara kata-kata rutin yang biasa dilemparkan kepada kawan saya yang bernama K ini. 

       Tapi itu dulu, semasa  zaman sekolah rendah. Zaman murid ke sekolah memakai kasut getah putih. Zaman ke sekolah memakai beg kain berwarna hijau bentuk segiempat. Satu peralihan masa yang menunjukkan betapa ceteknya pemikiran seorang murid seperti saya ketika itu. Betapa bodohnya memikirkan bahawa seseorang akan kekal 'basug' dalam hidupnya.

       Siapa sangka satu hari akan ada transformasi yang berlaku. Semenjak saya melanjutkan pelajaran di salah sebuah sekolah menengah di ' area' Kota Kinabalu..... Saya tidak lagi mengikuti sebarang perkembangan K. Bagaimana dia menghadapi pembelajaran di sekolah menengahpun saya tidak tahu. Saya sangat sibuk menyesuaikan diri di tempat baru. Lebih-lebih lagi saya kena buktikan kepada kawan-kawan sekolah rendah saya ...yang saya layak berada di sekolah di mana saya ditempatkan.

      Sepuluh tahun kemudian,  pada hujung tahun 1992, saya  telah dihantar bertugas ke SKRR . Setelah dua tahun bertugas di situ, kami menerima 2 orang guru baru. Siapa sangka salah seorang guru baru itu adalah kawan baik saya sendiri iaitu K. Amat terperanjat saya dibuatnya. Bagaimana dia boleh berjaya menjadi seorang guru? Apakah rahsianya sehingga dia dapat mengejar kami ( kawan-kawan sekelasnya) dalam merealisasikan mimpi indah? Apakah pengorbanan yang telah dibuatnya sehingga dia berjaya melepasi SPM dengan jayanya?

        Sungguh menakjubkan kesungguhan seorang sahabat saya yang bernama K ini ...kerana sikap tidak mengenal putus asa serta mempunyai  disiplin teguh telah mengubahnya dari seorang murid yang amat 'basug' kepada  guru cemerlang. Syabas kepada  ' K '. Terima kasih dan tahniah juga  kepada guru-guru prihatin yang tidak pernah  jemu  mengajar kami semasa di SKBR. Saya percaya itu adalah hasil yang  bermula dari sekolah rendah lagi. 

         Satu hal yang saya belajar dari K sebagai sahabat....manusia mampu berubah.Jika seseorang itu dilabel 'basug' sekalipun, dengan keinginan, kesungguhan dan disiplin yang teguh, seseorang itu boleh berjaya. Bahkan lebih berjaya daripada sesiapa sahaja yang 'apandai ' tetapi malas berusaha.

        Sebagai guru...apabila berhadapan dengan murid seperti K...jangan 
pernah berputus asa.


Salam semangat dari saya.....










Tiada ulasan: